Double-click to start typing
Double-click to start typing
Double-click to start typing

PEMIKIRANNUR

 Jalan 
Menuju
Cahaya

Bismillah Pemula Kebaikan

1وَبِهِ نَسْـتَعِينُ ♦ اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰالَمِينَ وَالصَّلٰوةُ وَالسَّلاَمُ عَلٰى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلٰۤى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِينَ
 

Kalimah Bismillah, بِسْمِ اللّٰهِ (Dengan Nama Allah) adalah permulaan setiap kebaikan. Permulaan kami juga didahulukan dengannya. Ketahuilah wahai nafsuku! Sebagaimana kalimah yang diberkati ini menjadi syiar Islam, ia juga merupakan wirid lidah semua makhluk melalui lisanul hal (bahasa tubuh) mereka. Jika engkau ingin memahami betapa “ بِسْمِ اللّٰهِ ”  itu suatu kekuatan yang sangat besar dan tidak akan luak dan suatu keberkatan yang sangat banyak dan tidak akan habis, maka renungi dan dengarilah hikayat perumpamaan yang ringkas ini:

Orang yang mengembara di padang-padang pasir Arab perlu menggunakan nama ketua kabilah dan bernaung di bawah perlindungannya supaya dia terselamat daripada kejahatan para penjahat dan mampu mencapai hajatnya. Jika tidak, dia akan menderita menghadapi musuh dan kehendaknya yang tiada batasan secara bersendirian. Demikianlah, untuk pengembaraan yang sebegini, dua orang keluar menuju ke padang pasir. Seorang daripada mereka tawadhuk manakala seorang lagi sombong. Si Tawadhuk itu telah mengambil nama seorang ketua, manakala si Sombong tidak mengambilnya. Yang mengambilnya, bersiar-siar dengan selamat di semua tempat. Jika terserempak dengan seorang perompak, dia berkata, “Aku mengembara dengan nama ketua fulan”. Perompak itu akan terhalang dan tidak akan boleh mengganggunya. Sekiranya dia memasuki sesebuah khemah dengan nama itu, dia dihormati. Manakala seorang lagi yang sombong, sepanjang perjalanan dia merasai bala yang amat dahsyat sehingga tidak boleh ditakrifkan. Dia sentiasa menggigil dan seringkali mengemis. Bukan sahaja dipandang rendah, dia turut menjadi hina.


Maka, wahai nafsuku yang sombong! Engkaulah pengembara itu. Dunia ini pula sebuah padang pasir. Kelemahan dan kefakiranmu tiada sempadan. Musuh dan hajatmu tiada akhiran. Oleh yang demikian, ambillah nama al-Malik (Pemilik) Yang Abadi dan al-Hakim (Penguasa) Yang Azali bagi padang pasir ini agar engkau terselamat daripada mengemis di hadapan seluruh alam semesta dan menggigil menghadapi tiap-tiap kejadian. 


Ya, kalimah ini ialah khazanah yang begitu berkat sehinggakan dengannya kelemahan dan kefakiranmu yang tiada akhiran itu mengikat engkau kepada Rahmat dan Qudrat yang tiada akhiran. Lantas kelemahan dan kefakiran  itu menjadi pemberi syafaat  yang  paling makbul di sisi al-Qadir dan ar-Rahim. Ya, orang yang bertindak dengan kalimah ini samalah seperti orang ini: Dia mendaftarkan diri kepada tugas ketenteraan lalu bergerak atas nama negara. Dia tidak akan takut daripada sesiapa pun dengan berkata atas nama undang-undang dan negara. Dia melaksanakan setiap tugas dan mampu bertahan menghadapi setiap perkara. Pada permulaan, kita telah menyebutkan bahawa semua makhluk melafazkan “ بِسْمِ اللّٰهِ ” dengan lisanul hal mereka. Benarkah begitu?

Ya, bagaimana jika engkau melihat: Seseorang telah datang. Dia telah mengarahkan kesemua penduduk bandar menuju ke satu tempat secara paksa dan mengerjakan mereka dalam kerja-kerja secara paksa? Sudah tentu engkau meyakini bahawa orang itu tidak bertindak atas nama dan kekuatannya sendiri. Bahkan dia ialah seorang askar yang bertindak atas nama negara dan bersandar kepada kekuatan seorang Sultan. Begitu juga, setiap sesuatu bergerak atas nama Allah sehinggakan benih dan biji-bijian umpama zarah kecil, membawa pokok-pokok yang besar dan memikul bebanan-bebanan umpama bukit di atas kepala mereka. Ini bermakna tiap-tiap sebatang pokok melafazkan “ بِسْمِ اللّٰهِ ”. Ia memenuhkan tangan-tangannya dengan buah-buahan Khazanah Rahmat dan menjajanya kepada kita. Tiap-tiap sebuah kebun melafazkan “ بِسْمِ اللّٰهِ ”. Ia menjadi satu kawah daripada Dapur Qudrat kerana bermacam-macam makanan lazat yang amat berlainan dimasak bersama di dalamnya. Tiap-tiap seekor haiwan yang diberkati seperti lembu, unta, biri-biri dan kambing melafazkan “ بِسْمِ اللّٰهِ ”. Mereka menjadi mata air susu daripada limpahan Rahmat. Mereka mempersembahkan kepada kita  bahan makanan yang paling baik dan paling bersih seperti air kehidupan atas nama ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki). Tiap-tiap satu tunjang dan akar-akar tumbuhan, pokok dan rumput-rampai yang lembut bak sutera melafazkan “ بِسْمِ اللّٰهِ ”. Ia melubangi dan menembusi batuan dan tanah yang keras. Dengan berkata, “atas nama Allah dan atas nama ar-Rahman”, setiap sesuatu ditundukkan kepadanya.

Ya! Menjalarnya akar-akar dengan penuh kemudahan di dalam batu dan tanah yang keras dan penghasilan buah di bawah tanah sama seperti berceracak dan berbuahnya dahan-dahan di udara serta kekalnya kelembapan dedaun hijau yang lembut dan nipis selama berbulan-bulan walaupun terdedah kepada kepanasan yang amat terik, menampar mulut para pendukung falsafah naturalisme dengan kuat dan menusuk jarinya ke mata mereka (yang mudah-mudahan buta itu) seraya berkata: “Kekerasan dan kepanasan yang paling kamu percayai juga bergerak di bawah perintah, hatta akar-akar selembut sutera itu yang masing-masing seperti tongkat Nabi Musa (Alayhissalam) mampu membelah batu-batu dengan menuruti perintah “ فَااضْرِبْ بِعَصَاَكَ الْحَجَرَ ”. Dedaun ‘nipis dan lembut seperti kertas 'pembalut rokok’ itu yang masing-masing seperti anggota-anggota tubuh Nabi Ibrahim (Alayhissalam) membaca ayat “ يَا نَارُ كُونِى بَرْدًا وَ سَلاَمًا ” menghadapi bahang kepanasan api yang marak. 

Memandangkan semua benda melafazkan “ بِسْمِ اللّٰهِ ” secara maknawi, mereka mendatangkan lalu memberi nikmat-nikmat Allah kepada kita kerana Allah. Oleh itu kita juga  semestinya melafazkan “ بِسْمِ اللّٰهِ ”. Kita hendaklah memberi kerana Allah dan mengambil juga kerana Allah. Sekiranya begitu, kita sepatutnya tidak mengambil daripada insan-insan lalai yang memberi bukan kerana Allah. 

Soalan: Kita membayar suatu harga kepada insan-insan yang bekerja sebagai penjaja. Agaknya, Allah yang merupakan Pemilik Harta Yang Sebenar, apakah harga yang diingini-Nya? 

Jawapan: Ya, harga yang diingini oleh Pemberi Nikmat Hakiki daripada kita sebagai balasan kepada nikmat-nikmat dan harta-harta bernilai itu ialah tiga perkara:  Zikir, syukur dan fikir. Bismillah ( بِسْمِ اللّٰه ) pada permulaan ialah zikir. Alhamdulillah ( اَلْحَمْدُ لِلّٰه ) pada penghujung ialah syukur. Manakala memikirkan dan menyedari bahawa nikmat-nikmat kehebatan penciptaan yang berharga itu merupakan mukjizat kekuasaan dan hadiah rahmat al-Ahadus Samad pada pertengahan ialah fikir. 

Seandainya mencium kaki seorang miskin yang telah membawakan kepadamu suatu hadiah yang bernilai daripada seorang raja, lalu engkau tidak mengenali pemberi hadiah itu merupakan kebodohan yang melampau, begitu jugalah, memuji pemberi-pemberi nikmat yang hanya pada zahir dan mencintai mereka seterusnya melupakan Pemberi Nikmat Yang Hakiki tentu merupakan kebodohan yang seribu kali ganda lebih teruk berbanding sebelumnya.

Wahai nafsu! Jika engkau tidak mahu menjadi bodoh seperti ini, berilah atas nama Allah, ambillah atas nama Allah, mulakanlah atas nama Allah dan berusahalah atas nama Allah.

Wassalam.

NOTA KAKI
  1. Hanya denganNya kami memohon pertolongan. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam sejahtera ke atas junjungan Muhammad, dan keluarganya dan para sahabat.