Double-click to start typing
Double-click to start typing
Double-click to start typing

PEMIKIRANNUR

 Jalan 
Menuju
Cahaya

IMAM BADIUZZAMAN SAID NURSI 
(1877 - 1960)

Imam Badiuzzaman Said Nursi lahir ke dunia pada tahun 1293 Hijrah bersamaan 1877 Masihi di kampung Nurs, daerah Khizan di wilayah Bitlis. Selepas tinggal bersama keluarganya sehingga berumur sembilan tahun, beliau mendapat pendidikan awal daripada abangnya Molla Abdullah. Sepanjang tempoh pengajian beliau yang singkat di madrasah-madrasah dan di samping para ulama’ yang berlainan, hafalannya yang kuat, akalnya yang tajam dan kelakuannya yang berani telah menarik perhatian mereka. Beliau telah menamatkan kesemua kitab berkenaan ilmu-ilmu usul yang diajar di madrasah-madrasah yang dipantau oleh ulama’-ulama’ Uthmaniyyah dalam satu tempoh yang menakjubkan, iaitu tiga bulan.


Dalam banyak ujian yang dijalankan oleh ustaz-ustaz beliau, dalam semua perbahasan ilmiah yang disertai beliau, beliau telah menyebabkan semua orang memperakui dan menyedari kehebatan kemampuan ‘muhakamah’ (penghujahan) beliau. Disebabkan oleh hafalannya yang sangat kuat dan kebijaksanaannya yang begitu hebat, gurunya Molla Fathullah telah menganugerahkannya gelaran Badiuzzaman semasa beliau masih dalam usia kanak-kanak. Gelaran ini telah diterima baik oleh semua ulama’ di timur Turki. Selepas zaman mudanya yang sibuk dengan ilmu dan tarbiah nafsiyyah, Ustaz Badiuzzaman telah pergi ke pusat-pusat pengajian seperti Bitlis, Shirwan, Si’rid, Tello dan Mardin dan madrasah-madrasah di kawasan itu. Beliau telah mengadakan pertemuan dengan para ulama’ yang masyhur.


Pada tahun-tahun tersebut, beliau telah menghafal sembilan puluh jilid kitab berkenaan ilmu-ilmu alat seperti Sorof, Nahu dan Mantiq bersama dengan ilmu agama seperti Tafsir dan Ilmu Kalam. Begitu banyak sehingga melalui kaedah mengulangkaji apa yang dihafalnya tiga jam setiap hari beliau hanya boleh menamatkannya dalam masa tiga bulan sekali.

Atas jemputan Hassan Pasha beliau telah pergi ke Van. Ketika beliau turut bergaul dengan orang-orang kerajaan terutamanya Datuk Bandar, dari aspek menyampaikan Islam menurut kefahaman semasa, beliau meyakini bahawa beliau turut berhajat kepada ilmu-ilmu moden terkini. 


Oleh sebab itu dengan minat dan dorongan sendiri, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu seperti Matematik, Geologi, Fizik, Kimia, Astronomi, Sejarah, Geografi dan Falsafah dalam tempoh yang singkat. Sepanjang keberadaannya di Van selama lima belas tahun, Ustaz Badiuzzaman disibukkan dengan mengajar di sebuah madrasah yang bernama ‘Khorkhor’ yang terletak di kaki kubu Van yang dibina daripada seketul batu besar dan di samping turut berceramah dan membimbing kaum keluarganya.

Semasa menjadi tetamu kepada Datuk Bandar Van, Almarhum Tahir Pasha di rumah tumpangannya, satu berita yang dibaca dalam akhbar telah menjadi titik perubahan di dalam hidup beliau.


Dalam akhbar tersebut, dalam satu ucapan di dewan umum, sambil menunjukkan al-Quran yang dipegang ditangannya, Menteri Penjajahan England iaitu Gladston telah berkata seperti berikut: “Selagimana al-Quran ini masih ada di tangan Umat Islam, kita tidak akan mampu untuk menguasai mereka! Apa yang perlu kita buat dan laksanakan ialah, merampas al-Quran ini daripada tangan mereka. Ataupun kita perlu mendinginkan umat Islam daripada al-Quran.” Berita ini telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada diri beliau yang memiliki roh keimaman kurun ini. Maka beliau bersumpah: “Aku akan mengisbatkan (membuktikan) dan memperlihatkan bahawa al-Quran adalah mentari maknawi yang tidak akan padam dan tidak akan dapat dipadamkan!” Lantas beliau telah mewaqafkan kehidupannya demi tekadnya ini.

INFO RINGKAS

PERKARA
 KETERANGAN
Kelahiran 
Di antara 5 Jan dan 12 March, 1878 di Kampung Nurs, Daerah Bitlis

KEDATANGAN BELIAU KE ISTANBUL 
DAN PROJEK MADRASAH AZ-ZAHRAH'NYA (1908)

Bagi Ustaz Badiuzzaman, untuk menghadapi usaha musuh-musuh dalaman dan luaran yang merancang untuk menghapuskan Uthmaniyyah dan seterusnya Islam dalam perancangan belakangnya, cara yang beliau ketengahkan ialah: “Merealisasikan satu sistem pengajian yang kukuh dan sesuai dengan kehendak generasi semasa yang boleh menyumbang kepada kedudukan yang tinggi bagi umat Islam dari segi fikrah dan ilmu dan juga mengguna pakai dasar kesatuan akal dan hati.”


Beliau berpandangan bahawa: “Cahaya sanubari ialah ilmu-ilmu agama. Nur bagi akal ialah ilmu-ilmu sains moden. Melalui gabungan keduanya hakikat akan muncul. Dengan dua sayap tersebut himmah (keazaman) para pelajar akan meningkat. Ketika keduanya terpisah, akan lahir pada yang pertamanya sifat taassub (fanatik) dan pada yang keduanya muslihat dan keraguan.”[1]


Daripada penerimaan ini, dengan bersungguh-sungguh beliau mencadangkan kewajaran penubuhan segera satu sistem pendidikan yang beliau namakan sebagai Madrasah Az-Zahra’ dengan memperkenalkannya sebagai ‘adik perempuan kepada Universiti al-Azhar’ yang akan menggabungkan ilmu-ilmu agama dengan ilmu moden di timur Anatolia. Dengan tujuan untuk merealisasikan pandangannya ini dalam bentuk sebuah universiti Islam, beliau telah datang ke Istanbul pada tahun 1908.


Akhbar-akhbar pada hari itu mewara-warakan kedatangan beliau ke Istanbul seperti berikut: “Telah dilihat di ufuk-ufuk Istanbul satu ciptaan luar biasa iaitu suatu kebijaksanaan yang dikira seperti api bernama Said Nursi yang telah terbit dari sebalik puncak-puncak gunung batu Timur yang curam dan keras.”[2]. (Said Nursi yang dianggap sebagai seorang yang luarbiasa kebijaksanaannya ibarat percikan api yang muncul seperti matahari di sebalik puncak gunung-ganang Timur Anatolia yang berbatu, keras dan curam telah dilihat di Istanbul.)


Di luar pintu bilik penginapannya di “Hotel Sekerci (Syekerji)” yang terletak di Fatih, Ustaz telah menggantungkan satu papan kenyataan yang tertulis, “di sini setiap masalah akan dirungkai, setiap soalan akan dijawab tetapi soalan tidak akan ditanya...” dan beliau telah memberi jawapan kepada para ulama’ Istanbul yang datang dengan keterujaan untuk menziarahi beliau setelah mendengar namanya. Tujuan beliau ialah untuk menarik perhatian pusat khilafah kepada rakyat di Timur Anatolia dan untuk meraih sokongan untuk membina Madrasah Az-Zahra’ yang dirancangnya sama ada di Van atau Diyarbakir.


Badiuzzaman yang berpandangan bahawa perjuangan pendidikan ialah satu-satunya jalan keluar untuk Uthmaniyyah menjauhkan diri daripada pusaran yang mana langkah demi langkah ia diheret kepadanya telah melihat bahawa usaha yang akan mendorong kepada pemilikan semula idea nilai bangsa seperti ini kepada anak-anak bangsa yang telah menjulang panji Islam selama beberapa kurun ini akan menjadi matlamat hidupnya. Beliau tidak menerima gaji dan jawatan besar yang ditawarkan oleh Sultan kepadanya melalui perantaraan Menteri Dalam Negeri yang disebut pada masa tersebut ‘Pengurus Besar Hal Ehwal Keselamatan’. Ini kerana beliau menghendaki supaya yang diambil berat ialah bukanlah peribadinya tetapi universitinya iaitu madrasah Az- Zahra’ yang akan mengajar ilmu agama dan ilmu moden secara bersama. Tetapi beliau tidak berjaya memperdengarkan hasratnya itu.


Ustaz yang tidak berjaya mendapat sokongan yang secukupnya di pusat kerajaan Uthmaniah yang menjadi pentas permainan dunia barat yang tidak berhati perut pada awal kurun ke dua puluh dan amat terkesan dengan apa yang diperolehnya daripada keadaan dunia, telah memutuskan untuk menetap di Istanbul yang merupakan pusat pemerintahan Khilafah Islamiah berbanding pulang ke negerinya kerana mahu melakukan dakwah melalui jalan politik.


Beliau telah menulis makalah-makalah di dalam surat khabar. Beliau berjumpa dengan individu-individu politik dan menasihati dan menyedarkan mereka. Beliau telah memainkan peranan penting dalam beberapa rapat umum dan perhimpunan. Selepas perisytiharan ‘Masyrutiyyah’(1908) beliau bersama dengan beberapa sahabatnya telah menyertai persatuan Ittihad Muhammadi. Persatuan tersebut menjadi terkenal dalam tempoh yang singkat. Sehingga dengan sebuah pidatonya, lima puluh ribu orang dari sekitar Bandar Adapazari dan Izmit telah menyertai persatuan tersebut.


[1] Maktubat 2, 387

[2] Diwan Harbi Urfi, 5.

PERBICARAAN DI MAHKAMAH JENAYAH PERANG (1909)

Pada masa itu, peristiwa 31 Mac yang masyhur telah berlaku. Walaupun beliau telah memainkan peranan penting untuk mententeramkan keadaan selepas peristiwa tersebut, beliau tetap ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kejadian tersebut lalu dibicarakan di Mahkamah Jenayah Perang. Dalam perbicaraan yang mana akhirnya beliau dibebaskan ini, dengan tegas dan berani beliau membela diri dengan berkata seperti berikut:

“Dalam Mahkamah tentera mereka bertanya kepada saya: Kamu juga mahukan syariat?

Saya menjawab: Andaikata saya memiliki seribu nyawa, saya bersedia mengorbankan kesemuanya demi satu hakikat syariat! Ini kerana syariat ialah punca kebahagiaan, keadilan sebenar dan kelebihan. Tetapi bukanlah seperti kehendak para pemberontak.

Mereka juga telah bertanya: Adakah kamu menyertai Ittihad Muhammadi?

Jawab saya: Dengan bangganya saya mengaku. Saya dari kalangan ahlinya yang paling kecil. Tetapi menurut maksud yang saya takrifkan. Manakala orang yang tidak menjadi ahli kesatuan itu, siapakah mereka kalau bukan golongan yang tidak beragama? Tunjukkanlah kepada saya!”[1]

Selepas itu beliau meninggalkan Istanbul melalui jalan Batum ke Tiflis. Dari sana beliau bertolak ke Van. Sambil menziarahi puak-puak dan suku kaum di sana, beliau berusaha membimbing mereka dengan mengajar tentang kemasyarakatan, ketamadunan dan keilmuan. Pengajian-pengajian yang luar biasa ini kemudiannya telah disebarkan dengan nama ‘Munazarat’.

Selepas suatu ketika dari Van beliau pergi ke Syam. Atas desakan para Ulama’ Syam, beliau menyampaikan sebuah khutbah yang hebat di hadapan jemaah yang sesak sekitar sepuluh ribu orang yang mana di kalangan mereka terdapat lebih daripada seratus orang Ulama’ di Masjid Umawi. Khutbah ini telah menerima pujian dan penghargaan yang luar biasa dan kemudiannya telah dicetak dengan nama ‘Khutbah Syamiyyah’. Seterusnya Dari Syam ke Beirut dan dari sana beliau telah kembali semula ke Istanbul.

Semasa Sultan Rasyad dalam perjalanan ke Rumeli, Ustaz turut menyertainya sebagai wakil daripada negeri-negeri timur. Melalui wasilah ini beliau telah membentangkan cadangan penubuhan Madrah Az-Zahra’ kepada Sultan Rasyad dan ia telah diterima. Maka beliau telah meletakkan batu asas universiti yang menjadi hasratnya sejak bertahun-tahun di Edremid yang terletak persisir tasik Van.

Malangnya ketika itu Perang Dunia Pertama telah meletus dan amat rugi sekali apabila proses pembinaan terpaksa ditinggalkan separuh jalan.

Dengan membicarakan bahawa doanya yang tulus dibuktikan dengan kata-kata dan tindakan pada noktah Madrasah Az-Zahra’ telah diterima dalam bentuk ratusan madrasah Nur yang telah bercambah di seluruh tanahair beberapa lama selepas itu, Ustaz akan memuji Allah.


[1] Sejarah Hidup Nursi, 26

TAHUN-TAHUN PEPERANGAN (1914 - 1918) 

Dalam keributan yang tercetus di penghujung kurun, Ustaz Badiuzzaman sebagai komander pasukan gerila/sukarelewan yang terdiri daripada para pelajarnya telah melibatkan diri dalam perang dunia pertama. Beliau telah bertempur dengan Rusia dan Armenia di bahagian Timur.

Semasa berperang dengan musuh di gunung Pasinler dan lembahnya, di terusan Avci, di bawah hujan peluru, di tengah-tengah para syuhada’ dan di bawah keadaan yang amat dekat dengan kesyahidan, dalam keadaan yang secara zahirnya kelihatan mustahil, dalam bentuk ilham dan lintasan hati, dengan ‘inayah Ilahi semata-mata, beliau telah mengarang sebuah tafsir yang dikira sebagai mahakarya beliau dalam ilmu tafsir yang bernama Isyaratul I’jaz

Semasa Bitlis dikuasai tentera Russia, beliau tercedera lalu menjadi tawanan dan dihantar ke bahagian Timur Laut Russia pada tahun 1916. Beliau menjadi tawanan selama dua tahun setengah di Kosturma yang terletak di tebing sungai Volga. Semasa ditawan beliau memberi nasihat keagamaan kepada para tawanan yang berada disekitarnya dan memberi galakan untuk menyedarkan mereka. Akhirnya setelah Berjaya meloloskan diri daripada tawanan dengan melarikan diri melalui jalan Pittrsburg, Warsaw dan Vienna beliau sampai ke Istanbul pada tarikh 26 Jun 1918. Sebilangan besar daripada masyarakat, tentera dan para pembesar negara telah melawat beliau dan mereka berasa senang hati dan gembira.

Dengan kehendak Syeikhul Islam Mustafa Sabri, selepas kepulangan ini Ustaz telah dipilih sebagai anggota Darul Hikmah al-Islamiah iaitu sebuah jawatankuasa tertinggi yang berperanan memberi Fatwa dan khidmat rundingan yang menghimpunkan para Ulama’ seperti Muhammad Akif, Izmirli Ismail Haqqi dan Elmalili Hamdi tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Di penghujung Perang Dunia Pertama, negara-negara yang bersekutu dengan Uthmaniyyah dalam peperangan telah dikalahkan. Tidak lama selepas itu, apabila Inggeris, Peranchis, Itali dan Greece mula menguasai negeri-negeri Uthmaniyyah, di Anatolia, persiapan perang pembebasan telah menjadi semakin rancak. Pada tahun-tahun tersebut di mana Istanbul dijajah oleh Inggeris, Ustaz telah menjalankan kegiatan-kegiatan yang memberi kesan yang menyusahkan Inggeris dan telah memberi sokongan kepada gerakan kekuatan rakyat di Anatolia. Kerajaan di Ankara yang menghargai usaha yang dilakukan beliau di Istanbul telah menjemputnya ke sana. Kerana itu beliau telah pergi ke Ankara. Beliau mendapat perhatian dan sambutan yang besar. Satu upacara khusus telah diaturkan untuk beliau dalam persidangan parlimen.1922.

Pun begitu Ustaz tidak dapat menemui apa yang dicita-citakannya. Ini kerana beliau melihat sebilangan besar perwakilan tidak mempedulikan agama dan tidak mendirikan solat. Beliau menerangkan kepada mereka tentang kepentingan solat melalui kenyataan bertulisnya yang mengandungi sepuluh perkara. Selepas kenyataan ini, bilangan mereka yang menunaikan solat telah bertambah. Pun begitu, para pembesar negara merasa tidak senang dengan usaha beliau yang amat berkesan ini maka beliau tidak dapat bermuafakat dengan pemimpin atasan.

Perang pembebasan telah dimenangi. Tetapi Ustaz dengan yakin mendapati bahawa walaupun penjajah telah dihalau tetapi pemikiran dan cara hidup Eropah semakin tersebar di Anatolia manakala ikatan-ikatan kepada Islam dan aqidah semakin hari semakin longgar dan lemah lalu beliau berasa sangat sedih.

Oleh kerana beliau tidak senang dengan keadaan di Ankara, beliau telah mengambil keputusan untuk pulang ke Van. Beliau turut menolak jawatan dan tugasan bergaji tinggi dan menawan yang ditawarkan kepadanya seperti wakil rakyat, keahlian sebagai penasihat di jabatan agama, tauliah ceramah umum di wilayah timur kerana jawatan-jawatan tersebut bertujuan supaya beliau berada di bawah kawalan mereka. Maka beliau bertegas dengan keputusannya. (1923)

Di Van, beliau telah memulakan hidup bersendiri (meminggirkan diri daripada masyarakat) di gunung Erek. Pada masa tersebut beliau melakukan muhasabah diri yang mendalam. Dari satu sudut, kesan yang diberikan oleh usia tua yang hampir tiada dalam sikapnya kepada rohnya dan dari satu sudut lain iaitu ketidak mampuannya untuk memperoleh natijah yang memuaskan hati daripada usaha-usaha yang dilakukannya sebagai ahli politik. Ini menyebabkah beliau makin cenderung untuk meneruskan niat mengasingkan diri daripada masyarakat yang telah diniatkannnya sejak ditawan Rusia lagi. Pada masa itu beliau seolah-olah telah merasai secara rohani bahawa akan berlaku perubahan yang besar. Maka seolah-olah beliau menunggu tugas yang akan diberikan takdir kepada dirinya.

Tidak lama kemudian, tercetuslah peristiwa Syeikh Said. Peristiwa itu telah ditamatkan melalui pertumpahan darah yang banyak. Walaupun beliau tidak menyetujui tindakan mereka dan tidak melibatkan diri dengan peristiwa ini melalui kata-katanya: “Pedang tidak boleh diangkat ke atas anak-anak bangsa yang telah menjulang Panji Al-Quran selama bertahun-tahun”, pada tahun 1925 beliau dibawa ke Istanbul dan dari sana beliau telah dibuang daerah ke Burdur dan Isparta. Seterusnya dengan syak wasangka ahli politik, beliau ditangkap dan dipaksa tinggal bersendirian di sebuah pekan kecil dalam Isparta yang bernama Barla dan bertujuan supaya beliau dihalang daripada berjumpa dengan orang ramai.

ERA SAID BARU DAN PENULISAN 
RISALAH AN-NUR (1920 - 1960) 

Ustaz Badiuzzaman membahagikan kehidupannya kepada ‘Said Baru’ dan ‘Said Lama’. Bahagian hidupnya yang berkait dengan dunia politik dinamakan ‘Said Lama’ manakala beliau menamakan tempoh bermulanya penulisan risalah-risalah dan kehidupannya yang dimulakan dari masa beliau menzahirkan tugas tajdid (pembaharuan) sebagai rencana utama dengan nama ‘Said Baru’.

Ustaz berkata: “Mereka yang menyeksa kita, sebenarnya tanpa mereka ketahui dan sedari, dengan takdir Ilahi mereka telah membantu kita untuk menyebarkan hakikat-hakikat keimanan.” Selama lapan tahun tempoh hukuman buang daerah ke Barla, beliau telah menulis tiga perempat koleksi Risalah an-Nur yang kebanyakannya membicarakan tajuk-tajuk keimanan dan telah menulis sebahagian besar himpunan ‘Kalimat’ (Kalimah-kalimah), ‘Maktubat’ (Surat-surat) dan ‘Lama’at’ (Kilauan).

Dalam khidmat pembaharuan yang dimulakannya, kepada mereka yang mahu menjadi muridnya, Ustaz Badiuzzaman telah menetapkan syarat agar menulis dan mempertuliskan Risalah an-Nur dengan huruf-huruf al-Quran. Di samping menulis dan memperbanyakkan Risalah, murid-murid risalah an-Nur yang berada di sekitar Barla dan Isparta juga turut menyebarkan dan menghantar naskhah-naskha yang ditulis kepada insan-insan yang merinduinya di seluruh pelusuk Anatolia. Seolah-olah Anatolia telah menjadi sebuah madrasah.

MAHKAMAH ESKISEHIR (1935 - 1936) 
BUANG DAERAH KE KASTAMONU (1936 - 1943)

Risalah an-Nur yang semakin dikenali telah menyebabkan sesetengah golongan merasa tidak tenteram. Pada tahun 1934, Ustaz telah dibawa dari Barla ke Isparta. Setahun selepas itu pula dengan tuduhan: “menubuhkan perkumpulan rahsia yang menentang kerajaan dan berusaha menggulingkannnya”, beliau bersama 120 orang muridnya telah ditangkap dan dibawa ke penjara Eskisehir. (1935)

Mereka telah dibicarakan bersama-sama di mahkamah jenayah berat Eskisehir. Walaupun tidak terdapat bukti yang kukuh untuk mengaitkan mereka dengan semua tuduhan dan kesalahan yang dibuat, mahkamah menjadikan ‘Risalah Tasattur’ (tentang penutupan aurat) sebagai alasan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama sebelas bulan. Semasa lima belas orang daripada seratus dua puluh muridnya dihukum penjara selama enam bulan manakala yang lain-lain telah dibebaskan.

Setelah keluar dari penjara Eskisehir, Ustaz Badiuzzaman telah dibuang daerah ke wilayah Kastamonu. (1936) Setelah dipaksa tinggal di balai polis dalam tempoh yang panjang, beliau ditempatkan di sebuah rumah yang betul-betul berhadapan dengan balai polis. Di Kastamonu beliau menjalani hidup dalam buangan selama lapan tahun. Di situ juga, para pelajar telah berhimpun di sekelilingnya.

Ketika risalah an-Nur berpindah dari tangan ke tangan, risalah-risalah baru juga sedang ditulis. Risalah dan maktub yang baru ditulis mula-mula dihantar ke Isparta, murid-murid di Isparta pula menghantar semua itu ke kampung-kampung Anatolia sehingga sampai ke setiap tempat hatta pelusuk yang paling dalam. Halaqah para murid pun makin lama makin meluas.

Ketika itu orang-orang yang disebut oleh Ustaz sebagai ‘musuh-musuh agama yang terselindung’ juga tidak dapat berdiam diri. Beberapa kali serbuan telah dilakukan ke atas rumah yang diduduki beliau. Beliau dibawa dari satu mahkamah ke mahkamah lain, dari satu hukuman buang daerah ke daerah yang lain. Beliau telah diracun sebanyak dua puluh tiga kali. Hanya dengan bantuan Allah sahajalah beliau terselamat daripada kesan racun pada setiap percubaan. Walaupun banyak tekanan seperti itu usaha-usaha dakwah Nur tidak dapat dipintas dan disekat.


MAHKAMAH DENIZLI (1943 - 1944), AFYON (1947 - 1949) 
DAN BUANG DAERAH (1944-1950)

Pada musim luruh tahun 1943, beliau bersama seratus dua puluh enam orang muridnya telah dibawa mahkamah tinggi Denizli. Koleksi Risalah an-Nur telah diteliti dan dikaji oleh satu jawatankuasa pakar yang terdiri daripada para professor dan ilmuwan yang hebat. Berdasarkan laporan positif yang menyatakan bahawa “Ustaz tidak mempunyai tujuan politik dan Risalah an-Nur merupakan tafsir al-Quran yang menumpukan kepada ilmu dan keimanan dan berdasarkan hujah-hujah pembelaan yang dilakukan di mahkamah pada tahun 1944, keputusan untuk membebaskan mereka telah dikeluarkan dengan hujah bahawa tuduhan tersebut tidak berasas. (15 Jun 1944)

Sepanjang Sembilan bulan kehidupannya di penjara, Ustaz tidak pernah dipertemukan dengan para pelajarnya. Beliau telah dibiarkan terdedah kepada tekanan yang banyak dan telah diracun. Walaupun begitu beliau telah bersabar dan dengan bantuan Allah beliau telah terselamat daripada kesan racun tersebut. Selepas dibebaskan Ustaz menetap di Denizli selama dua bulan. Selepas itu beliau masih tidak dibiarkan bebas. Beliau telah dibawa ke penempatan paksa yang lain iaitu di Emirdag. (20 Julai 1944).

Walaupun menempuh berbagai tekanan, perkembangan Dakwah Risalah an-Nur terus berlanjutan di sini. Seperti di setiap tempat buang daerah yang lain, Emirdag juga gempar (kecoh) dengannya (kehadiran Ustaz). Walaupun ada bermacam-macam halangan, mereka yang datang menziarahi beliau tidak pernah putus. Para pelajarnya membawa risalah yang ditulis mereka kepadanya dan beliau menyemaknya. Beliau selalu pergi berjalan keluar bandar, pada masa itu pun beliau masih diekori dan diawasi. Seolah-oleh beliau sentiasa dihukum dengan penjara pengawasan. Di pintu rumahnya sentiasa ada polis yang berkawal.

Pada permulaan tahun 1948, bersama-sama dengan para pelajarnya dari bandar-bandar yang berlainan sekali lagi beliau telah ditangkap dan di bawa ke Afyon. Tuduhan masih sama. “Menentang kerajaan dan menubuhkan satu perkumpulan politik secara rahsia”. Perbicaraan ini berlanjutan selama dua puluh bulan dan hukuman yang diberi dan keputusan rayuan yang diputuskan ialah tidak bersalah. Adalah amat pelik apabila, walaupun wujud keputusan rayuan, kononnya untuk menyempurnakan/membaiki kekurangan persidangan jawatankuasa mahkamah telah ditunda beberapa kali manakala Ustaz terus ditahan hari demi hari. Begitulah sehingga tempoh hukuman yang dijatuhkan tamat. Hanya pada masa itulah Ustaz dan murid-murid Nur dapat dilepaskan.

Pada tahun 1950 Turki telah memasuki era bercambahnya parti politik. Dengan memenangi pilihanraya yang diadakan Parti Demokrat telah menjadi pemerintah. Perubahan yang berlaku dalam dunia politik ini telah memberikan sedikit kebebasan dan kelegaan kepada Ustaz dan murid-murid Nur. Namun begitu perbicaraan dan tekanan-tekanan masih berterusan.

Selepas dibebaskan dari penjara Afyon, Ustaz telah dipaksa tinggal di Emirdag. Selepas Parti Demokrat menjadi pemerintah beliau telah pergi ke Eskisehir. Selepas beberapa ketika akhirnya Ustaz berpindah ke Isparta dan di sana beliau menjadi sibuk dengan para pelajarnya.

Pada tahun 1952 bersempena dakwaan yang dibuka ke atas ‘Mursyidus Syabab’ (Pedoman Pemuda), selepas 27 tahun, beliau kembali semula ke Istanbul. Hotel penginapannya telah menerima arus kunjungan para pelajar dan sahabat-sahabatnya yang tidak putus. Tanpa ditahan dakwaan ini dibicarakan selama tiga bulan dan sekali lagi beliau disabitkan tidak bersalah.

Selepas perbicaraan beliau pulang ke Emirdag. Semasa bersiar-siar seorang diri di luar bandar kerana tidak memakai topi, pihak polis tentera telah mengheret beliau ke balai polis. (1953) Disebabkan peristiwa ini, beliau telah menghantar surat permohonan beliau kepada wakil-wakil Kementerian Keadilan dan Hal Ehwal Dalaman Negara.

Apabila surat permohonan tersebut disiarkan di dalam akhbar tempatan Bandaraya Samsun oleh para pelajarnya di sana, kali ini di Samsun satu dakwaan telah dibuka keatasnya maka beliau dipanggil ke sana. Walaupun satu laporan yang mengatakan bahawa beliau tidak dapat menghadirkan diri ke sana kerana masalah kesihatan dan usia tuanya telah dihantar ke mahkamah, mahkamah tetap bertegas mahukan beliau datang. Semasa beliau pergi ke Istanbul untuk pergi ke Samsun tahap kesihatan beliau bertambah buruk.

Satu laporan lain yang diambil daripada jabatan kesihatan yang menerangkan bahawa “keadaan ustaz tidak membenarkan perjalanan beliau sama ada melalui darat, laut atau udara” telah dihantar ke Samsun. Hasilnya di mahkamah itu beliau disabitkan tidak bersalah.

Pada musim bunga tahun 1953, beliau telah menetap di Istanbul selama tiga bulan. Beliau telah menyertai sambutan yang diadakan sempena ulangtahun pembukaan Istanbul yang ke-500. Selepas itu mengikut urutan; beliau pergi ke Emirdag, Eskisehir, Isparta dan dari sana beliau bersama para pelajarnya pergi ke Barla yang merupakan tempat buang daerahnya yang pertama dan tempat risalah-risalah ditulis.