PEMIKIRANNUR

 JALAN
MENUJU
CAHAYA

RISALAH AN-NUR ADALAH TAFSIR MAKNAWI BAGI AL-QURAN 

Secara ringkas Ilmu Tafsir ditakrifkan sebagai membongkar, menghuraikan dan menzahirkan isi kandungan dan makna-makna al-Quran yang terselindung dan tersembunyi. Imam Ghazali menyamakan al-Quran dengan lautan yang tiada pantainya. Di dasarnya pula terdapat mutiara, yakut dan permata yang tidak terhitung. Ilmu tafsir pula ialah ilmu yang mengeluarkan mutiara-mutiara dan hakikat-hakikat yang tersembunyi itu. Dari sudut ini setiap kitab yang membahaskan tentang perincian dan hakikat-hakikat al-Quran adalah sejenis tafsir. Sehingga kini dalam dunia Islam telah banyak karya-karya yang bertujuan sebegini ditulis. Ustaz Badiuzzaman menerangkan bahawa Risalah an-Nur merupakan sebuah tafsir dalam bentuk seperti berikut:


“Oleh kerana kami berulang kali telah mengatakan bahawa Risalah an-Nur adalah tafsir al-Quran yang kuat dan benar dan oleh kerana sebahagian orang yang cuai tidak memahami makna keseluruhannya, maka saya telah memutuskan untuk menghuraikan tentang satu hakikat. Hakikat itu ialah: Tafsir ada dua bahagian.


Bahagian Pertama: Tafsir-tafsir yang dimaklumi. Tafsir-tafsir tersebut menjelaskan, menerangkan dan membuktikan ungkapan al-Quran, makna kalimah dan ayat-ayatnya.


Bahagian Kedua: Menerangkan, membuktikan dan menjelaskan hakikat-hakikat keimanan dalam al-Quran dengan hujah-hujah yang kukuh. Bahagian ini mengandungi kepentingan yang sangat banyak. Sesetengah tafsir-tafsir maklum yang masyhur memasukkan bahagian ini secara ringkas. Tetapi Risalah an-Nur menjadikan bahagian kedua ini sebagai asas secara berterusan/konsisten. Risalah an-Nur ialah tafsir maknawi yang mendiamkan ahli falsafah dalam bentuk yang tiada bandingannya.[1]


Juga melalui takrifan penulis, “Risalah an-Nur yang kebanyakannya lintasan dan hasil galian al-Quran yang datang kepada hati dengan limpahan dan bantuan al-Quran[2], secara jelas adalah satu burhan (bukti) yang terang bagi al-Quran, satu tafsirnya yang kuat, satu kilauan mukjizat maknawinya yang terang, satu titisan bagi lautan itu, satu sinaran bagi matahari itu dan satu terjemahan maknawinya yang diilhamkan daripada sumber ilmu hakikat dan datang daripada limpahannya.”[3]


Ustaz Badiuzzaman yang beristifadah daripada al-Quran semata-mata ketika beliau menulis Risalah an-Nur menerangkan bagaimana beliau mula menulis karya-karyanya seperti berikut:

“Walau bagaimanapun, sepertimana Imam Rabbani tidak henti-henti berpesan dalam risalah-risalahnya itu, beliau turut menyatakan perkara berikut dalam banyak suratnya: “Laksanakanlah pentauhidan kiblat, iaitu berpandulah kepada seorang ustaz dan berjalanlah di belakangnya! Janganlah menyibukkan dirimu dengan yang lain!” Pesanannya yang paling penting ini menjadi tidak munasabah dengan persediaan dan keadaan roh saya. Saya telah berfikir beberapa kali: agaknya saya pergi dari belakang yang inikah atau yang lain atau yang lain lagi? Saya kehairanan. Pada setiap satunya terdapat sifat-sifat yang menarik. Saya merasa tidak boleh berpada dengan salah satunya sahaja. Ketika saya dalam kehairanan itu tiba-tiba dengan rahmat Allah telah datang ke hati saya bahawa permulaan bagi semua tariqat yang berbeza ini, sumber bagi semua aliran air dan matahari bagi planet-planet ini adalah al-Quran al-Hakim. Pentauhidan kiblat yang sebenar hanya ada padanya. Jika begitu, al-Quranlah pembimbing teragung dan ustaz paling suci. Saya telah berpegang dengannya. Sudah tentu dengan kelayakannya, persediaan saya yang kurang dan tidak terurus tidak boleh menyedut dan mengambil limpahan pembimbing sebenar yang ibarat air kehidupan itu. Tetapi kami masih boleh menunjukkan limpahan dan air kehidupan itu dengan limpahannya menurut darjat ahli tasawuf dan tariqat.


Bermakna, kata-kata dan nur-nur yang datang daripada al-Quran itu bukan hanya masalah-masalah ilmiah yang akli, bahkan merupakan masalah-masalah keimanan yang berbentuk ilmu, roh, dan keadaan. Itu semua ibarat pentakrif Allah yang amat tinggi dan bernilai.[4]

Yang bercakap dalam semua kalimah bukanlah saya, bahkan hakikat/ kebenaran atas nama isyarat-isyarat al-Quran. Hakikat/kebenaran pula berkata benar. Bercakap betul. Jika kalian melihat sesuatu yang salah, ketahuilah dengan yakin bahawa pemikiran saya telah masuk campur, mengecamukkannya lalu menjadikannya salah tanpa sengaja.[5]



[1] Sinaran 2, 545

[2] Sikke-i Tasdik Gaybi, 81

[3] Sinaran 1, 1

[4] Maktubat, 204

[5] Kalimah-kalimah, 312

RISALAH AN-NUR ADALAH PENGAJIAN ILMU KALAM YANG MANTAP

Berdasarkan tajuk dan tujuannya Ilmu Kalam telah ditakrifkan dengan dua jenis.


Pertama: Berdasarkan kepada tajuknya ilmu kalam ialah ilmu yang membahaskan tentang Zat dan Sifat-sifat Allah, masalah-masalah yang berkait dengan nubuwwah (kenabian) dan risalah (kerasulan), persoalan permulaan dan penamat, tabiat-tabiat penciptaan dari sudut dunia dan akhirat menurut asas-asas Islam.


Kedua: Berdasarkan tujuannya Ilmu Kalam ialah ilmu yang membuktikan aqidah dan kepercayaan agama melalui penggunaan dalil-dalil yang putus dan muktamad serta menghapuskan segala syak dan keraguan yang mungkin berlaku dan memantapkan/ mengukuhkannya.

Para ulama meringkaskan bahawa tujuan Ilmu Kalam dan semua ilmu Islam ialah “memastikan kebahagiaan dunia dan akhirat”. Pada masa yang sama para ulama Islam juga telah membahaskan tentang sebahagian tujuan dan faedah Ilmu Kalam pada tahap yang seterusnya dan boleh disusun seperti berikut:


Ilmu Kalam menyelamatkan keimanan manusia daripada darjat taklid atau ikut-ikutan lalu meningkatkan keimanan ke tahap yang benar, teguh dan kukuh, membimbing manusia yang mencari jalan lurus, mendiamkan golongan kufur dan ahli bidaah, menyelamatkan asas-asas aqidah daripada kegoyahan disebabkan keraguan yang dibawa oleh golongan sesat, menyucikan niat manusia dalam sudut amalan dan memantapkan aqidah manusia.

Berdasarkan tujuan-tujuan di atas Risalah an-Nur turut mengandungi Ilmu Kalam. Tetapi dari sudut usul ia berbeza dengan Ilmu Kalam yang klasik. Contoh, ketika Ilmu Kalam yang klasik menggunakan lebih banyak dalil atau hujah ‘hudus’ (baharu dan dicipta) dan ‘imkan’ (kemungkinan), Risalah an-Nur kebanyakannya telah menggunakana dalil nizam (peraturan) dan tujuan yang merupakan uslub al-Quran. Risalah an-Nur menemui ‘jalan menuju Allah pada semua benda’.


Dalam satu jawapan yang diberi beliau kepada seorang pelajarnya Ustaz Badiuzzaman menerangkan tentang keistimewaan khidmat nur dari sudut Ilmu Kalam ini seperti berikut:

“Dalam surat kamu, kamu ingin mempelajari Ilmu Kalam daripada saya. Semua kalimah-kalimah yang kamu tulis adalah pengajaran-pengajaran Ilmu Kalam yang bercahaya dan benar. Sebahagian ulama muhaqqiq seperti Imam Rabbani telah berkata bahawa: Pada akhir zaman seseorang akan menerangkan Ilmu Kalam iaitu masalah-masalah keimanan menurut Ilmu Kalam yang merupakan mazhab ahli al-Hak dalam bentuk yang hebat sehingga dia akan menjadi sebab kepada tersebarnya cahaya-cahaya itu melebihi semua ahli kasyaf dan tariqat”.[1] Tidak syak lagi bahawa Risalah an-Nur membenarkan isyarat ghaibiah tersebut.



[1] Tambahan Barla, 162