Double-click to start typing
Double-click to start typing
Double-click to start typing

PEMIKIRANNUR

 Jalan 
Menuju
Cahaya

RISALAH RAMADHAN

RISALAH RAMADHAN

Bahagian Kedua yang menjadi Risalah Kedua

daripada sembilan bahagian dalam Maktub Kedua Puluh Sembilan dalam himpunan Maktubat

 

Mengenai Ramadhan Yang Mulia

 

            Oleh sebab syiar-syiar Islam telah disebutkan secara sepintas lalu di penghujung bahagian pertama, maka dalam bahagian kedua ini yang mengenai Ramadhan al-Mubarak yang merupakan salah satu syiar yang paling terang dan hebat di antara semua syiar, sebahagian hikmah-hikmahnya akan disebutkan. Bahagian kedua ini ialah sembilan nuktah yang menjelaskan sembilan hikmah daripada hikmah-hikmah Ramadhan al-Mubarak yang sangat banyak.


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى اُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَ بَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَ الْفُرْقَانِ

 

Nuktah Pertama: Puasa pada bulan Ramadhan yang mulia merupakan salah satu rukun yang utama daripada lima rukun Islam. Juga merupakan salah satu daripada syiar Islam yang teragung. Sesungguhnya terdapat banyak hikmah puasa Ramadhan yang mulia yang sentiasa berhubung kait dengan Rububiyyah Allah, kehidupan bermasyarakat manusia, kehidupan peribadinya, pentarbiahan nafsunya dan kesyukuran atas nikmat-nikmat Ilahi. Sesungguhnya pada noktah Rububiyyah Allah, salah satu hikmah daripada hikmahnya yang banyak adalah seperti berikut: 

 

Allah mengungkapkan tentang kesempurnaan Rububiyyah, sifat Rahman dan Rahim-Nya melalui penciptaan muka bumi yang seperti satu hamparan nikmat dan melalui penghidangan semua jenis nikmat di atas hamparan tersebut dengan cara [مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ] (yang tidak disangka-sangka oleh manusia). Namun, di bawah tabir kelalaian dan dalam lingkungan asbab, manusia tidak mampu melihat hakikat yang diberitahu oleh keadaan tersebut dengan jelas. Bahkan kadang-kadang mereka terlupa. Namun pada bulan Ramadhan yang mulia, orang Mukmin berubah menjadi pasukan tentera yang tersusun secara tiba-tiba. Dalam keadaan telah dijemput ke jamuan Ilahi, pemaparan sikap penuh pengabdian semasa hampir Maghrib oleh mereka seperti menunggu perintah “Silakan!”, adalah balasan mereka terhadap sifat Rahman yang mesra, hebat dan menyeluruh melalui pengabdian yang luas, agung dan tersusun. Agaknya, adakah insan-insan yang tidak menyertai pengabdian dan darjat kemuliaan yang tinggi sebegini layak dinamakan insan?

 

Nuktah Kedua: Dari sudut mensyukuri nikmat Allah pula, salah satu hikmah daripada hikmah-hikmah puasa Ramadhan al-Mubarak adalah seperti berikut:

 

Seperti yang disebutkan di dalam ‘Kalimah Pertama’, makanan-makanan yang dibawa oleh seorang penyaji daripada dapur seorang Raja mahukan satu bayaran. Sebagaimana menganggap nikmat-nikmat yang sangat berharga itu tidak bernilai lalu tidak mengenali orang yang memberi nikmat itu adalah satu kebodohan pada tahap yang melampau walaupun saguhati telah diberikan kepada penyaji, begitu jugalah Allah yang telah menyebarkan jenis-jenis nikmat-Nya yang tidak terkira di atas muka bumi. Sebagai balasannya, Allah meminta kesyukuran sebagai bayaran bagi nikmat-nikmat itu. Asbab zahir dan para pemilik nikmat-nikmat itu adalah ibarat penyaji. Kita memberikan bayaran kepada penyaji-penyaji itu dan berasa berhutang budi kepada mereka. Malahan kita menghormati dan mengucapkan terima kasih kepada mereka secara berlebihan walaupun mereka tidak berhak. Sedangkan, al-Mun’imul Haqiqi (Pemberi Nikmat Sebenar) adalah jauh lebih layak kepada kesyukuran melalui perantaraan nikmat itu berbanding dengan sebab-sebab itu. Justeru, berterima kasih kepada-Nya hanya boleh berlaku dengan cara mengetahui bahawa nikmat-nikmat itu datang daripada-Nya secara langsung, menghargai nilai nikmat-nikmat itu dan merasai  keberhajatan diri sendiri kepada nikmat-nikmat itu. Justeru, puasa dalam Ramadhan al-Mubarak merupakan satu kunci kesyukuran yang hakiki, suci, agung dan menyeluruh.


            Ini kerana, apabila tidak merasai kelaparan sebenar, kebanyakan manusia yang tidak berada di bawah keterpaksaan tidak dapat memahami nilai bagi nikmat yang banyak pada masa-masa lain. Tahap kenikmatan pada secebis roti kering tidak akan difahami oleh orang-orang yang kenyang, lebih-lebih lagi jika dia kaya. Padahal pada waktu iftar (berbuka puasa, deria rasa seorang mukmin menjadi saksi bahawa pada pandangannya roti kering itu ialah satu nikmat Ilahi yang sangat berharga. Dalam bulan Ramadhan al-Mubarak, dengan memahami nilai-nilai itu, semua orang daripada Raja sehinggalah orang-orang yang paling fakir memahami dan melahirkan satu kesyukuran maknawi. Malahan, dari sudut larangan makan pada siang hari, seseorang itu akan berfikir: “Nikmat-nikmat itu bukannya milikku. Aku tidak bebas untuk menikmati itu semua. Ini bermakna ia adalah pemberian dan harta orang lain. Aku menanti arahan-Nya.” lalu dia memahami bahawa nikmat itu adalah nikmat dan melafazkan satu kesyukuran maknawi. Maka, puasa dalam bentuk begini adalah ibarat anak kunci kesyukuran yang menjadi tugas sebenar keinsanan dari banyak sudut.

 

Nuktah Ketiga: Dari sudut pandangannya kepada kehidupan bermasyarakat manusia, salah satu hikmah daripada hikmah yang banyak bagi puasa adalah seperti berikut:

Manusia telah diciptakan dalam keadaan-keadaan yang berlainan dari sudut sara hidup. Berdasarkan kepada kelainan itu, Allah Taala telah menyeru orang-orang kaya supaya membantu orang-orang miskin. Ini kerana, melalui rasa lapar yang ada dalam puasa, orang-orang kaya akan benar-benar merasai keperitan orang-orang miskin dan memahami kelaparan mereka yang perlu dibelasi. Jika tiada puasa nescaya akan terdapat ramai orang kaya yang bertuhankan nafsu yang tidak akan memahami betapa sengsara dan betapa berhajatnya mereka yang lapar dan miskin kepada belas kasihan. Dalam sudut ini, rasa belas kasihan dalam sifat perikemanusiaan kepada sesama manusia juga merupakan asas kesyukuran yang hakiki. Sesungguhnya sesiapa jua akan dapat menemui orang yang lebih miskin daripada dirinya dari satu sudut. Maka dia bertanggungjawab untuk mengasihaninya. Jika dia tidak terpaksa untuk merasakan kelaparan kepada nafsunya, maka dia tidak akan dapat melakukan sumbangan dan bantuan kepada sikap tolong-menolong melalui perantaraan belas kasihan yang telah ditaklifkan ke atasnya. Jikalau dia melakukannya sekalipun ia tidak akan sempurna. Ini kerana dia tidak merasai keadaan yang sebenar itu pada dirinya sendiri.

 

Nuktah Keempat: Dari sudut yang merujuk kepada pentarbiahan nafsu, salah satu hikmah daripada hikmah yang banyak bagi puasa pada bulan Ramadhan yang mulia adalah seperti berikut:

Nafsu mahu dirinya bebas dan tidak terikat dan ia menganggapnya begitu. Hatta secara fitrah ia menghasratkan satu rububiyyah sangkaan dan tindak-tanduk yang bebas sesuka hatinya. Ia tidak mahu memikirkan bahawa ia telah ditarbiah dengan nikmat-nikmat yang tidak terhitung. Lebih-lebih lagi sekiranya ia memiliki kekayaan dan kekuasaan di dunia. Jika kelalaian juga turut membantu, ia akan menelan kesemua nikmat Ilahi secara rakus dan gelojoh seperti binatang.


Justeru, dalam bulan Ramadhan yang mulia, nafsu setiap orang daripada yang paling kaya sehingga yang paling fakir memahami bahawa dirinya bukanlah pemilik tetapi dimiliki. Dirinya tidak merdeka bahkan adalah hamba. Jika tidak diperintahkan, dia tidak akan dapat melakukan sesuatu yang paling biasa dan senang dan tidak mampu menghulurkan tangan kepada air. Demikianlah rububiyyah sangkaannya itu berderai lalu terpikullah ubudiyyah. Lantas dia mula melaksanakan kesyukuran yang merupakan tugas hakikinya.

 

Nuktah Kelima: Dari noktah yang merujuk kepada pembentukan akhlak diri dan pemberhentian diri daripada perlakuan yang penuh kedegilan, salah satu hikmah daripada hikmah yang banyak bagi puasa di bulan Ramadhan yang mulia adalah seperti berikut:

Akibat kelalaian, nafsu manusia melupakan diri sendiri. Maka ia tidak akan nampak dan tidak pernah mahu melihat kelemahan tidak terhingga, kefakiran tidak berpenghujung dan kesalahan yang sangat banyak pada dirinya. Malah ia juga tidak pernah memikirkan bahawa dirinya adalah sangat daif, terdedah kepada kelenyapan, menjadi sasaran kepada musibah dan (hanya) terdiri daripada daging dan tulang yang cepat rosak dan mudah dicerai-beraikan. Maka ia menyerang dunia seolah-olah dia memiliki sekujur tubuh daripada kersani dan mengkhayalkan seolah-olah dirinya adalah abadi dan tidak akan mati. Ia menghumbankan dirinya kepada dunia dengan sifat haloba dan tamak yang dahsyat serta dengan tautan dan kecintaan yang bersangatan. Ia mengikat dirinya kepada setiap perkara yang lazat dan bermanfaat. Malah ia melupakan al-Khaliq yang mendidik dirinya dengan penuh kasih-sayang. Ia juga tidak pernah memikirkan natijah kehidupan dan kehidupan akhiratnya. Maka ia bergelumang dengan akhlak yang hina.


Justeru, puasa di bulan Ramadhan yang mulia merasakan kedaifan, kelemahan dan kefakiran kepada mereka yang paling lalai dan paling derhaka. Melalui kelaparan, manusia memikirkan perutnya. Dia memahami keperluan yang ada di dalam perutnya. Dia menyedari bahawa tubuhnya yang daif adalah sangat rapuh. Dia mengerti bahawa dia sangat berhajat kepada marhamah dan kasih sayang. Lantas dia meninggalkan kefiraunan nafsu dan merasai hasrat untuk berlindung ke hadrat Ilahi dengan penuh kelemahan dan kefakiran lalu dia bersedia untuk mengetuk pintu rahmat dengan tangan kesyukuran maknawi. (Itu pun) sekiranya kelalaian belum merosakkan hatinya.

 

Nuktah Keenam: Dari sudut puasa Ramadhan yang mulia merujuk kepada penurunan al-Quranul Karim dan merupakan waktu penurunan al-Quranul Karim yang paling penting, salah satu hikmah daripada hikmah-hikmah Ramadhan yang mulia adalah seperti berikut:

Memandangkan al-Quranul Hakim telah diturunkan dalam bulan Ramadhan, maka untuk menyambut baik khitab (perutusan) samawi itu dengan cara mendatangkan waktu penurunan al-Quran, lalu pada bulan Ramadhan yang mulia, manusia dimuliakan dengan satu keadaan suci yang menyerupai keadaan para malaikat melalui penjauhan diri daripada kehendak nafsu yang keji, perkara-perkara yang tidak berfaedah serta melalui perbuatan menghindari makan dan minum. Dia membaca dan mendengar al-Quran itu seolah-olah bagaikan ia baru diturunkan. Dia mendengar khitab itu bagaikan mendengarnya daripada Rasulullah Solallahu ‘Alaihi wa Sallam, bahkan bagaikan daripada Jibril ‘Alaihis Salam bahkan daripada al-Mutakallimul Azali. Manusia turut menjadikan dirinya sebagai penterjemah al-Quran dan memperdengarkannya kepada yang lain serta memperlihatkan hikmah penurunan al-Quran pada suatu tahap.

 

Ya, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, dunia Islam bagaikan sebuah masjid. Ia sebuah masjid yang jutaan hafiz memperdengarkan al-Quran dan khitab samawi itu kepada penduduk bumi dari setiap penjuru masjid terbesar itu. Setiap tahun, bulan Ramadhan memperlihatkan ayat شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى اُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ dalam bentuk yang terang benderang dan bercahaya. Ramadhan membuktikan bahawa ia adalah bulan al-Quran. Ahli-ahli lain dan sebahagian jamaah agung tersebut mendengar para hafiz itu dengan khusyuk. Yang lain-lain membacanya secara bersendirian. Maka, seburuk mana perbuatan menuruti bujukan hawa nafsu dan keluar dari keadaan bercahaya itu dengan makan dan minum dalam sebuah masjid suci yang berkeadaan begitu dan sepasti mana ia menjadi sasaran kebencian maknawi para jamaah di dalam masjid tersebut, begitulah juga mereka yang menyalahi ahli Siyam di bulan Ramadhan. Setahap itulah mereka akan menjadi sasaran kebencian dan penghinaan maknawi yang sama daripada seluruh dunia Islam.

 

Nuktah Ketujuh: Pada sudut yang memandang kepada keuntungan bangsa manusia yang datang untuk bercucuk tanam dan berniaga untuk akhirat di dunia, salah satu hikmah daripada hikmah-hikmah puasa Ramadhan adalah seperti berikut:

Pahala amalan dalam bulan Ramadhan yang mulia adalah seribu (pahala) untuk satu (kebaikan). Menurut nas Hadis, bagi setiap huruf al-Quran terdapat sepuluh pahala, dikira sebagai sepuluh kebajikan dan mendatangkan sepuluh biji buah syurga. Tetapi, pada bulan Ramadhan, bagi setiap huruf bukannya sepuluh bahkan seribu dan bagi ayat-ayat seperti Ayatul Kursi, bagi setiap hurufnya beribu-ribu pahala dan pada hari-hari Jumaat Ramadhan, pahalanya adalah lebih banyak. Di malam Lailatul Qadar satu huruf dikira sebagai tiga puluh ribu kebaikan. Ya, al-Quranul Karim yang setiap hurufnya memberikan tiga puluh ribu buah yang baqa’ adalah ibarat sebatang pohon Tuba nurani yang memberi jutaan buahnya yang baqa’ itu kepada orang mukmin pada (setiap) bulan Ramadhan yang mulia.


Justeru, marilah perhatikan, renungi dan fikirkan tentang perniagaan yang suci, abadi dan menguntungkan ini. Fahamilah betapa terlalu ruginya mereka yang tidak menghargai nilai huruf-huruf ini. Sesungguhnya Ramadhan al-Mubarak adalah bagaikan sebuah pameran dan pasar untuk perdagangan akhirat yang sangat menguntungkan; sebidang tanah yang subur untuk hasil-hasil ukhrawi dan bulan April pada musim bunga untuk pengembang-biakan (peningkatan dan pembanyakan) amalan. Ramadhan adalah ibarat sebuah perayaan paling berseri dan suci untuk ubudiyyah/pengabdian manusia melakukan lintas hormat di hadapan kekuasaan Rububiyyah Ilahi. Oleh sebab begitulah hakikat insan, supaya dia tidak masuk kepada hajat-hajat kebinatangan nafsu akibat kelalaian seperti makan minum dan supaya dia tidak masuk ke dalam selera-selera yang tidak bermanfaat dan mengikut nafsu, maka dia telah ditaklifkan dengan puasa. Oleh sebab dia seolah-olah keluar daripada sifat kebinatangan buat sementara waktu lalu memasuki sifat kemalaikatan ataupun masuk ke dalam urusan perdagangan akhirat, maka dengan meninggalkan hajat dunawinya buat sementara waktu dan dengan cara memasuki keadaan seorang yang ukhrawi dan roh yang muncul berjasad melalui puasa, dia mencerminkan sifat as-Samad Ilahi. Ya, Ramadhan yang mulia memiliki dan memperolehkan usia yang abadi dan kehidupan baqa’ yang panjang dalam umur yang fana dan kehidupan yang singkat di dunia yang fana ini.

 

Ya, Ramadhan yang satu boleh memperolehkan buah-buah umur selama lapan puluh tahun. Kenyataan bahawa Lailatul Qadar pula adalah lebih baik dari seribu bulan menurut nas al-Quran merupakan hujah yang muktamad kepada rahsia ini.

 

Ya sepanjang tempoh pemerintahannya hatta setiap tahun, seorang Raja menjadikan sesetengah hari yang mempamerkan kemegahan kerajaannya yang gemilang sebagai perayaan sama ada dinamakan sebagai majlis penganugerahan pingat ataupun majlis lain.

 

Pada hari itu baginda menganugerahkan perhatian yang bukan dalam ruang lingkup istiadat umum kepada rakyatnya yang layak dan setia. Bahkan baginda secara langsung menganugerahkan kurniaan yang khusus, keizinan menghadap tanpa halangan, layanan yang istimewa, urusan yang luar biasa dan perhatian khusus baginda.

 

Begitu jugalah Sultan keazalian dan keabadian yang merupakan Sultan Zul Jalal bagi dua puluh lapan ribu alam. Dia telah menurunkan al-Quranul Hakim yang merupakan firman agung yang melihat dan memandang kepada dua puluh lapan ribu alam itu. Semestinya mengibaratkan Ramadhan itu sebagai suatu perayaan Ilahi, pameran Rabbani dan majlis rohani yang khusus adalah selari dengan hikmah-Nya.

 

Memandangkan Ramadhan ialah perayaan tersebut, maka sudah tentu manusia akan diperintahkan berpuasa untuk menarik mereka (lebih jauh) sedikit daripada kesibukan yang rendah dan sifat kebinatangan. Manakala perkara yang paling sempurna bagi puasa itu ialah manusia turut mempuasakan semua perasaan seperti perut dan anggota tubuhnya seperti mata, telinga, hati, khayalan dan fikiran. Yakni dia menjauhkan diri daripada perkara yang diharamkan dan tidak berfaedah dan memandu setiap satunya kepada ibadat yang khusus. Contohnya mempuasakan lidah dengan menjauhkannya daripada menipu, adu domba dan perkataan kesat lalu menyibukkan lidah tersebut dengan perkara-perkara seperti membaca al-Quran, zikir, tasbih, selawat dan istighfar.

Contoh yang lain: Dia menghalang mata daripada memandang mereka yang bukan mahram dan telinga daripada mendengar perkara-perkara yang buruk serta turut mempuasakan semua anggota seperti mengalihkan matanya kepada iktibar dan telinganya kepada mendengar kata-kata yang benar dan al-Quran. Oleh kerana perut sememangnya merupakan sebuah kilang yang paling besar, maka sekiranya ia dihentikan beroperasi dengan puasa, bengkel-bengkel kecil yang lain juga boleh dihentikan dengan mudah.

 

Nuktah Kelapan: Pada sudut yang merujuk kepada kehidupan peribadi manusia pula, salah satu hikmah daripada hikmah-hikmah Ramadhan adalah seperti berikut:

Puasa ialah diet maddi dan maknawi untuk manusia dan sejenis pencegahan secara klinikal yang paling penting. Ini kerana, apabila nafsu manusia bertindak sesuka hati dalam perkara makan dan minum, sepertimana dia memudharatkan kehidupan zahir seseorang secara klinikal, maka dengan melahap apa saja yang datang tanpa berkata halal dan haram juga seolah-olah meracuni kehidupan maknawinya. Seterusnya, perbuatan menurut kata hati dan perasaan menguatkan nafsu itu. (Tanpa disedari) nafsu akan mengambil alih tali kendalinya (menguasai) yang tidak taat. Maka manusia tidak lagi boleh menunggangnya bahkan ia yang menunggang manusia.

 

Melalui puasa di bulan Ramadhan, ia akan terbiasa dengan sejenis diet. Ia akan mula berlatih (mensucikan diri) dan mula belajar mendengar perintah. Ia juga tidak akan mengundang  penyakit akibat mengisi makanan ke atas makanan sebelum hadam kepada perut yang buntu dan lemah. Dari sudut ia meninggalkan yang halal kerana menuruti perintah, maka lahirlah kemampuan mendengar perintah yang datang daripada akal dan syariat untuk menjauhi yang haram. Ia akan berusaha untuk tidak merosakkan kehidupan maknawi.

 

Kebanyakan manusia sudah kerap diuji dengan kelaparan. Maka mereka memerlukan riadah dan kelaparan yang memberi sejenis senaman dan latihan untuk kesabaran dan ketabahan. Puasa di bulan Ramadhan ialah sejenis riadah, senaman, latihan kesabaran dan ketabahan untuk menghadapi kelaparan selama lima belas jam atau dua puluh empat jam sekiranya tidak bersahur. Ini bermakna, penawar bagi sikap tidak sabar dan tidak tahan yang mengganda duakan musibah manusia ialah puasa.

 

Terdapat petugas yang banyak di kilang perut itu. Malah terdapat banyak peralatan manusia yang berhubungkait dengannya. Sekiranya nafsu tidak berhenti beroperasi di waktu siang pada bulan yang ditentukan, ia boleh menyebabkan para petugas kilang dan peralatan itu lupa tentang ibadat-ibadat mereka yang khusus lalu sibuk dengan dirinya (nafsu) dan membiarkan penguasaan (berada) di bawahnya. Nafsu juga akan mengganggu seluruh peralatan manusia itu dengan bunyi bising roda jentera dan asap kilang maknawi tersebut. Ia sentiasa menarik perhatian peralatan tersebut lalu melupakan tugas-tugas mulia mereka buat sementara waktu. Kerana itulah sejak sekian lama ramai para wali telah membiasakan diri mereka dengan riadah hati, makan dan minum yang sedikit demi kesempurnaan.


Tetapi melalui puasa Ramadhan al-Mubarak, para petugas kilang itu memahami bahawa mereka tidak dijadikan untuk kilang itu semata-mata. Sebagai gantian kepada keseronokan yang rendah nilainya di kilang itu, seluruh peralatan berlazatan di dalam keseronokan yang berbentuk kemalaikatan dan kerohanian pada Ramadhan al-Mubarak dan menumpukan pandangan mereka kepada perkara tersebut. Kerana itulah, orang mukmin mendapat cahaya, limpahan dan kegembiraan maknawi yang berbeza-beza dalam bulan Ramadhan menurut darjat mereka. Melalui puasa di bulan yang diberkati itu, hati dan latifah-latifah seperti roh, akal dan rahsia (sanubari) memperoleh banyak peningkatan dan limpahan. Walaupun perut menangis, mereka ketawa tanpa rasa bersalah.

 

Nuktah Kesembilan: Dari sudut mematahkan rububiyyah diri yang disangka ada secara langsung dan memberitahu tentang ubudiyyahnya dengan cara memperlihatkan kelemahannya, salah satu hikmah daripada hikmah-hikmah puasa di bulan Ramadhan al-Mubarak adalah seperti berikut:

Nafsu tidak mahu mengenali Tuhannya. Seperti firaun ia mahukan rububiyyah bagi diri sendiri. Sebanyak mana ia diseksa pun perasaan itu kekal padanya. Tetapi melalui kelaparan sikap itu dapat dipatahkan. Justeru puasa di bulan Ramadhan al-Mubarak secara langsung menyerang sudut kefiraunan nafsu dan mematahkannya. Puasa memperlihatkan kelemahan, kedaifan dan kefakiran nafsu dan memberitau bahawa ia adalah hamba. Di dalam hadis terdapat riwayat bahawa Allah Subhanahu Wa Taala telah berkata kepada nafsu: “Siapakah Aku dan siapakah engkau?” Nafsu menjawab: “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau!” Lalu Allah telah mengazabnya dan mencampaknya ke dalam neraka. Allah bertanya lagi dan nafsu tetap menjawab: “Ana ana Anta Anta!” Apapun azab yang diberikan ia tetap dengan sikap ananiyyahnya (keakuannya). Kemudian nafsu diazab dengan kelaparan yakni dibiarkan lapar. Sekali lagi Allah bertanya: “Man Ana wa man anta?” Nafsu telah berkata: اَنْتَ رَبِّى الرَّحِيمُ وَاَنَا عَبْدُكَ الْعَاجِزُ bermaksud: “Engkau adalah Tuhanku ar-Rahim dan aku adalah hamba-Mu yang lemah.”

 

اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تَكُونُ لَكَ رِضَاءً وَ لِحَقِّهِ اَدَاءً بِعَدَدِ ثَوَابِ حُرُوفِ الْقُرْآنِ فِى شَهْرِ رَمَضَانَ

 وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ وَ سَلِّمْ

سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ وَ الْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ آمِينَ [1]

 


[1] Ralat (Permohonan Maaf): Oleh kerana bahagian kedua ini ditulis dengan tergesa-gesa dalam empat puluh minit dan oleh kerana kami berdua iaitu saya dan penulis yang menulis muswaddah (coretan) sedang sakit, sudah tentu terdapat kecelaruan dan kesilapan di dalamnya. Kami mengharapkan para saudara melihatnya dengan pandangan kemaafan. Mereka boleh memperbetuli apa yang dirasakan sesuai.